Friday, December 18, 2009

Mencari Cahaya Allah SWT

Sesungguhnya, seperti baru semalam sahaja aku bermain-main di laman rumah, saling kejar mengejar dengan kekawan bermain aci tak aci, saling berenang berlawan merentasi sungai siapa dulu yang sampai, membina pondok bermain perang-perang dengan menggunakan senapang bemban dan caplong, Sesungguhnya semua itu seperti baru sahaja berlalu sedangkan telah ku tinggalkan waktu itu melebihi 30 tahun yang lalu.

Masa berlalu sedemikian pantas, tau-tau rambut dan janggut dah bertukar menjadi putih, anak-anak muda memanggil pak cik dan sikecil memanggil tok atau tok wan. Sedang pencarian ku masih belum kesampaian, masih terkial-kial mencari sinar cahaya untuk bekalan ke alam yang kekal abadi. Sesungguhnya kegelisahan mulai meresapi ketubuhku betapa akan bersediakah aku untuk menemui Dia yang telah meminjamkan segala-galanya untukku.

Dia pinjamkan untukku tubuh yang sedemikian lengkap dan sempurna, Dia berikan rezki untuk ku jaga dan pelihara pemberianNya ini dan Dia berikan ilmu untuk melengkapkan ruh yang kosong. Alangkah hinanya diri ku ini kerana kadang-kadang aku lalai dalam menanggapi setiap pemberianNya dan biadapnya aku ini kerana menganggap bahawa pemberianNya itu sebagai kepunyaan diriku sendiri. Ampunkan diriku ini Ya Allah.

Sesungguhnya aku mengakui wahai Allah bahawa "Tiadalah 'Ilah dan Rabb' melainkan Engkau dan aku ini adalah hambaMu yang sering menganiaya diri sendiri.
kerana itu wahai Tuhan, tunjuki aku dengan hidayahMu, jalanMu dan kebenaran milikMu dan peliharalah diriku ini agar tidak tersasar dari landasanMu.

Amin.. ya Rabb ya Arhamarrohimin.