Thursday, January 28, 2010

Kalimah Allah

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya masih mampu melawati dan memposting penulisan ini. Sesungguhnya kesibukan atas urusan dunia kita kadang-kadang menyebabkan kita lalai untuk menjadikan diri kita sebagai seorang hamba yang taat kepada Pencipta kita. Ya Allah, ampuni hamba Mu yang lalai lagi leka ini, Amin.

Hari ini, sibuk diperkatakan mengenai isu penggunaan kalimah Allah SWT oleh gerakan kristianisasi sehingga membawa kepada terjadinya pembakaran beberapa buah gereja sekitar lembah klang. Begitulah sensitifnya orang melayu dengan nama Allah SWT, walaupun mereka itu sedang meminum khamar, jika dikatakan sesuatu yang tidak baik kepada tuhan mereka, mereka akan terus melenting tanpa usul periksa.

Bagi saya, jika kita memahami dengan jelas kedudukan kita sebagai seorang Muslim, jika telah tertanam Iman yang benar dalam lubuk jiwa kita, maka jika pun nama Allah SWT itu hendak digunakan oleh Ahli Kitab, tentunya ia tidak akan menimbulkan sebarang permasalahan kerana mereka itu, iaitu ahli-ahli kitab itu juga mengimani bahawa Allah itulah yang telah mewahyukan Taurat, Zabur dan juga Injil.

Kita juga sebagai Umat Muhammad yang Islam dan beriman mestilah mengimani bahawa Al Kitab itu adalah datang dari Allah SWT samada Taurat yang diturunkan kepada Musa atau Injil yang diturunkan kepada Isa dan juga Al Quran yang menjadi pedoman hidup kita sekarang ini.

Bagaimanapun, kerana Muhammad SAW, Rasul yang diutus oleh Allah SWT membawa bersamanya Al Quran untuk kita imani dan Allah SWT pula menerangkan di dalam kitab suciNya itu bahawa Al Kitab (iaitu Taurat, Zabur dan Injil) itu telah di susun semula, di tambah dan dikurangi oleh tangan-tangan manusia, maka kita tidaklah boleh lagi meyakini akan isi kandungan samada Taurat, Zabur atau Injil itu.

Tetapi sebagai umat Muhammad SAW yang Islam dan beriman dengan apa yang ditunjuki oleh baginda, maka kita sebenarnya tidak wajar untuk mengatakan bahawa samada Taurat, Zabur atau Injil itu bukan datangnya dari Allah SWT, kerana itu kita sewajarnya tidak memprotes apabila kristian hendak menggunakan nama Allah.

Semuga Allah SWT menunjuki kita ke jalanNya yang benar lagi lurus. Amin.

Salam dari saya
Manmanan.

Monday, January 4, 2010

HIJRAH UNTUK APA?

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia Allah SWT, ketika ini aku masih mampu duduk di hadapan komputer pribadiku ini untuk meneruskan penulisan seterusnya. Semuga Allah menunjuki diri ku ini kepada cahayaNya. Amin.


Baru sahaja melintasi tahun baru, samada tahun Hijrah atau tahun Masehi. Pelbagai aturcara dilaksanakan di dalam usaha sambutan kedua2 tahun baru ini cuma mungkin saja cara yang agak berbeda. Sememangnya, Islam yang penuh dengan cahaya itu amat berbeda dengan jahiliah yang dipenuhi dengan kegelapan.


"Allah pelindung (wali) orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang dan orang-orang yang kafir itu pula, pelindung (wali) mereka adalah syaitan (thoghut), dia (syaitan itu) mengeluarkan mereka (yang dilindunginya) daripada cahaya kepada kegelapan, mereka itu (orang-orang yang mengambil syaitan sebagai pelindung mereka) akan kekal di dalam neraka untuk selama-lamanya" - Surah Al Baqarah ayat 257


Setiap kali kita menyambut "Maal Hijrah", maka kitapun disogokkan dengan pelbagai aturcara dan program-program samada Forum, Diskusi, Ceramah dan sebagainya yang seumpama itu. Sesudah berakhirnya, kita mulai kembali mengikuti cara hidup kita seperti yang sebelumnya. Kita tidak sedikit pun berubah dari sebelum dan selepas? Jadi apa gunanya kita diperingatkan dengan kedatangan tahun baru ini?