Alhamdulillah, sesungguhnya diri ini amat bersyukur ke hadrat Allah
Azzawajalla lantaran dengan limpah rahmat dan kekuatan yang dianugerahkanNya,
dapat diri ini memulakan penulisan dalam usaha meletakkan kebenaran di atas
kebenaran. Tidaklah ada sesuatu pun yang diharapkan, hanya sanya petunjuk,
taufik, hidayah dan cahayaNya menerangi dalam waktu hambaNya yang lemah ini
memulakan penulisan ini sehinggalah ke saat pengakhirannya.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Jika bukanlah Allah yang membukakan hijab yang menghadang antara kita
dan kebenaran, tentunyalah kita tidak akan mampu melihat dengan mata hati dan
tidak akan kita faham dengan kefahaman yang benar. Marilah kita mulakan dengan
doa yang ikhlas semoga Allah mendorong kita untuk melihat dengan mata hati dan
memahami dengan kebenaran. Cukuplah Allah yang menjadi wali kita kerana apabila
Allah menjadi wali kita, maka Dia akan membawa kita dari kegelapan kepada cahaya
yang terang.
Dalam suasana hari ini, di mana Islam telah kembali ‘dagang’, tentulah
kita juga berhadapan dengan cabaran untuk ‘mencari jalan yang lurus’.
Terbentuknya pelbagai kumpulan dalam Islam akibat ‘percaturan politik’ dimana
kumpulan-kumpulan yang terpecah itu pula mencipta atau mengikuti suatu Mazhab, Kefahaman atau Aliran dengan menolak Mazhab,
Kefahaman atau Aliran yang lain. Persoalannya adalah adakah Mazhab, Kefahaman
atau Aliran yang dipaksakan ke atas sesuatu kaum dari umat Islam oleh ‘Kuasa
Politik’ itu adalah ‘Jalan Yang Lurus’?
Rasulullah SAW memberitahu kita melalui hadis baginda yang diriwayatkan
oleh Abu Hurairah dari kitab Hadis Muslim: “Islam itu bermula dalam keadaan
dagang (asing) dan ia akan kembali dagang (asing) pula. Maka beruntunglah
orang-orang yang ‘dagang/asing’ itu. Dalam riwayat lain, para sahabat bertanya
mengenai siapakah orang yang ‘dagang/asing’ itu? Rasulullah SAW menjawab: “iaitu
orang yang mengamalkan Sunnahku”
Kerana itu, dalam suasana hari ini dimana Islam itu telah berada dalam
keadaan yang tidak dipedulikan lagi, amat pentinglah bagi kita untuk menjadi
manusia yang ‘asing/dagang’ itu kerana hanya orang yang sedemikian itulah
sahaja yang akan beruntung. Untuk menjadi manusia yang ‘asing/dagang’ pula,
maka kita wajib untuk memahami dengan jelas mengenai Sunnah Rasulullah SAW,
kerana Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa orang yang ‘asing/dagang’ itu
adalah orang yang “mengamalkan Sunnah ku”
Saudara-saudara yang ku kasihi,
Sesungguhnya jika Allah tidak memberikan petunjukNya, jika Allah tidak
membuka Hijab yang membatasi kita dengan kebenaranNya, jika Allah tidak
memperlihatkan jalanNya yang lurus, nescaya kita akan kekal dalam kegelapan
tanpa sinar cahaya yang menerangi. Kerana itu, amat penting bagi kita untuk
berdoa dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh supaya Allah menyelamatkan kita
dari bahaya fitnah yang sedang menguji kita sekarang ini.
Untuk kita mencari ‘kebenaran’, maka amat penting pula untuk kita
memahami perkara-perkara yang boleh memesongkan kita dari jalan kebenaran itu,
kita mesti juga memahami hambatan-hambatan yang akan menyebabkan kita menjadi
manusia yang merasakan bahawa mereka telah berada dijalan yang benar tetapi
hakikatnya dia sedang berada pada jalan yang salah. Memang benarlah sabda
Rasulullah SAW bahawa Islam itu akan kembali ‘dagang/asing’ kerana manusia yang
benar-benar berada pada Sunnah Rasulullah SAW itu amat sedikit.
Sabda Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Hakim daripada
Abu Hurairah yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Umatku akan ditimpa oleh penyakit-penyakit yang pernah menimpa
umat-umat yang dahulu”
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW “Apakah penyakit-penyakit
umat dahulu itu ya Rasulullah?”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: penyakit-penyakit itu adalah:
1. Mereka terlalu banyak
berseronok
2. Mereka hidup
bermewah-mewah
3. Mereka menghimpun
harta kekayaan sebanyak mungkin
4. Mereka akan tipu menipu
dalam mengejar dunia
5. Mereka diselaputi
sifat marah dan saling memarahi
6. Mereka akan saling
hasut menghasut sehingga zalim menzalimi”
Lihatlah dengan mata hati yang terbuka, betapa hari ini penyakit ini
sudah menular dan merebak dengan dengan sebegitu ketara. Kerana inginkan
keseronokan dalam hidup, kerana terlalu mengejar kemewahan dan harta kekayaan,
seorang manusia boleh menjadi pembelot kepada Islam itu sendiri. Kerana
mengejar keuntungan dunia, seorang peniaga yang tahu barang yang dijualnya itu “Haram”,
tetapi tetap menjualnya dan mengatakan ianya adalah “Halal”. Kerana mengejar kedudukan
dan kemewahan dunia. Seorang Muslim sanggup menjadi manusia Munafik malahan
seorang yang berilmu agama sanggup menjual agamanya.
Semoga Allah melindungi kita, yang ikhlas dalam mencari kebenaran
daripada manusia-manusia Zalim tetapi kelihatan Alim.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Hari ini, 15 Syaaban, dan beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak iaitu suatu bulan yang didalamnya penuh dengan keberkatan dan kerahmatan dari Allah Azzawajalla. Suatu bulan di mana doa mereka yang ikhlas akan dikabulkan oleh Allah Azzawajalla. Kerana itu, ambillah kesempatan ini untuk memohon dengan bersungguh-sungguh supaya Allah tunjuki kita ke jalanNya yang benar.
InsyaAllah, tulisan ini akan dilanjutkan nanti, kita tangguhkannya dulu untuk sementara waktu. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk kembali semula bagi meneliti dan mengkaji kebenaran dari Allah dan RasulNya.
Sama-sama kita akhiri pertemuan kali ini dengan membaca Tasbih Kifarah dan Surah Al Asr .
Assalamualaikum warahmatullah.