Monday, June 9, 2014

BERTEMU DENGAN KAWAN LAMA

Ku mulakan tulisan dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, semuga Allah melindungi diriku yang hina ini daripada tipudaya syaitan yang direjam dan semuga Allah berikan petunjuk dan hidayahnya untuk ku mulakan penulisan ini, memandu ku untuk ku habiskan penulisan ini, Amin ya Zaljala li wal ikram, ya Arhamarrohimin.

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT sekali lagi saya dapat menemui sahabat-sahabat semua dalam ruangan yang amat jarang diupdate ini, maafkan saya kerana kesibukan dalam mengusahakan pencarian hidup mengurangkan waktu untuk mengutarakan pendapat dan pandangan. Semoga Allah mengampun diri ini dan menunjukkan jalan yang benar lagi lurus.


Kali ini, sekadar untuk berkongsi pendapat mengenai pertanyaan seorang sahabat lama mengenai Yakjuj dan Makjuj, siapakah mereka itu, adakah benar tembok pemisah antara mereka dan kita telah pun terbuka? Sesungguhnya persoalan begini sering diutarakan dan diperbincangkan samada oleh penulis-penulis blog yang lain malahan program cinta ilmu di TV9 juga sedang memperkatakan mengenai perkara ini.

Untuk tulisan yang pertama mengenai Yakjuj dan Makjuj ini, saya cuma ingin membetulkan sedikit salah faham yang timbul dalam kalangan kita mengenai kaum yang bersifat Ganas dan Zalim ini.

Kebanyakan antara kita telah mengetahui kisah mengenai Zulkarnain dan pembinaan tembok pemisah daripada kejahatan Yakjuj dan Makjuj sepertimana yang tercatat didalam Al Quran pada surah Al Kahfi. 

Kerana itu hal pertama yang perlu kita faham ialah Allah mengisahkan kaum itu dengan sebutan "Yakjuj wa Makjuj" dimana ditengahnya ada perkataan "wa" yang bermaksud "dan". Maka hendaklah kita faham dengan jelas bahawa Yakjuj itu satu puak dan Makjuj pula satu puak yang lain tetapi tabiat mereka itu hampir sama iaitu Ganas, Zalim dan Jahat. 

Kita pasti tidak akan dapat memahami mengenai siapakah Yakjuj dan Makjuj itu jika kita tidak memisahkan antara dua puak yang berbeda tetapi mempunyai sifat yang sama ini. Kerana antara Yakjuj dan Makjuj itu juga saling bermusuhan dan saling berperang antara sesama mereka.

Kedua, kisah Zulkarnain ini adalah suatu kisah yang lama, yang berlaku sebelum kedatangan Musa a.s, malahan sesetengah pendapat mengatakan bahawa kisah Zulkarnain itu adalah sebelum kedatangan Nabi Ibrahim a.s lagi. Kerana itu kita mesti faham bahawa ketika itu, diwaktu ketemadunan hanya berpusat dibeberapa tempat, maka selebihnya adalah kaum-kaum Nomad yang Ganas dan Jahat. 

Ketiga, untuk kita memahami dan mengenali siapakah Yakjuj dan Makjuj itu ialah bahawa mereka juga adalah Manusia daripada keturunan Adam dan Hawa. Jika kita menganggap bahawa mereka itu adalah makluk bawah tanah atau makhluk atas langit, pastilah kita tidak akan mengenali kaum yang bernama Yakjuj dan Makjuj itu.

Sebagai manusia, pastilah akan tercipta peradaban demi peradaban, ketamadunan demi ketemadunan, perubahan demi perubahan. Kerana itu jika kita hendak mencari Kaum Nomad yang Ganas dan sentiasa berperang dengan pedang dan kapak pada dunia sekarang, ianya mungkin adalah sesuatu yang mustahil.

Begitu juga, kerana sifat Yakjuj adalah 'Manusia' dan sifat Makjuj juga adalah 'Manusia', maka adalah amat mustahil mereka itu hanya akan menetap pada suatu daerah semata-mata. Kehidupan manusia adalah bermigrasi.

Keempat yang perlu kita faham ialah bahawa Zulkarnain membina tembok tersebut adalah secara nyata. tembok tersebut memang ujud dan bukannya sesuatu yang ghaib atau ilusi yang tidak dapat dilihat oleh mata. 

Kerana itu, para sahabat Rasulullah SAW sendiri,  para Tabi' Tabiin dan Khalifah-Khalifah pemerintah kerajaan Islam telah  berusaha untuk mencari kedudukan sebenar tembok Zulkarnain tersebut.

Kelima yang perlu kita faham ialah, pada masa kini, tidak ada sebarang tembok yang mampu menghalangi sesuatu lagi. Dunia sudah terbuka, jika kita melhat Google Map, tidak ada lagi tempat yang tersembunyi.  Dari Kuala Lumpur ke Kuala Lumpur kembali, dari Kutub Utara hingga ke Kutub Selatan dan kemudian kembali ke kutub utara. semuanya terbuka dengan seluas-luasnya.

Tulisan ini terpaksa dihentikan untuk sementara, InsyaAllah, dengan kekuatan dan limpah rahmat Allah Azzawajalla, saya akan meneruskan usaha penulisan ini dengan sedaya upaya yang termampu. Doakanlah agar Allah memberikan kekuatan untuk diri yang amat lemah ini.

Salam dari saya,
Manmanan











No comments:

Post a Comment