Wednesday, August 17, 2011

SALAM RAMADHAN

Ya Allah, sesungguhnya ku mulakan penulisan ini dengan namaMu yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, tunjukilah daku kefahaman yang benar dan lindungilah daku dari tipuan syaitan yang Engkau Laknat.

Hari ini adalah hari yang ke 18 dalam bulan Ramadhan tahun 1432 Hijrah. Bagi sesetengah kita, mungkin sampai kita terlupa pada tarikh dalam kalendar Islam dan cara penentuan hari dalam Islam iaitu setiap hari baru akan bermula selepas masuknya waktu Magrib sedang sebahagian kita masih memahami bahawa kalendar Islam juga bermula pada tengah malam. Demikian benarnya kata-kata Rasulullah SAW bahawa umat ini akan mengikuti Yahudi dan Nashara sehinggakan kepada perkara-perkara kecil inipun kita telah dikelirukan oleh mereka. Mohonlah perlindungan Allah, semuga Allah melindungi kita dari kesilapan masa lalu kita sendiri.

Siang tadi (saya menulis selepas solat Terawih) adalah merupakan hari cuti umum di Negeri Pulau Pinang untuk membesarkan hari turunnya Al Quran (Nuzul Quran). Alhamdulillah, sesudah sekian waktu saya menyepi diri, waktu ini saya dapat kembali meneruskan penulisan saya, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dan dengan kekuatan yang di anugerahkanNya, saya dapat sekali lagi memulakan penulisan ini.

Sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsikan dengan sahabat dan saudara semua mengenai Nuzulul Quran, tetapi disebabkan oleh kesuntukan masa, saya tidak dapat memuatkannya dalam penulisan kali ini, tentunya sesuatu penulisan itu perlukan kajian dan penapisan supaya ianya berada di atas landasan yang dikehendaki oleh Allah SWT dan amat tidak wajar kiranya saya menulis terus sebegitu sahaja. Bagaimanapun InsyaAllah, ada beberapa penulisan yang sedang saya usahakan dan bila ianya disiapkan akan saya muatkan ke dlm blog ini. Doakanlah semuga Allah SWT memberikan saya kekuatan yang berterusan. Amin.

Apapun, sesuatu yang mungkin dapat saya kongsikan bersama sahabat dan saudara semua adalah mengenai kefahaman kita terhadap Al Quran itu sendiri, memangnya sangat lemah dan sedikit apatah lagi bagi kita yang hanya memahami Al Quran itu hanya melalui bacaan tafsir Al Quran dan tidak melalui guru yang muktabar. Kerana itu, sudah tiba masanya untuk kita berusaha untuk memahami Al Quran itu dengan kefahaman yang benar sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan RasulNya.

Sahabat dan saudaraku,
Akhir kalam untuk tulisan kali ini, maafkan saya kerana lama tidak menulis dan melemparkan pendapat, sesungguhnya itulah kelemahan seorang manusia. Sesungguhnya yang baik itu adalah dari Allah SWT dan yang sebaliknya itu adalah dari kelemahan saya sendiri.

Salam dari saya
Manmanan.