Thursday, June 12, 2014

KEMBALI KE JALAN YANG LURUS

Alhamdulillah, sesungguhnya diri ini amat bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla lantaran dengan limpah rahmat dan kekuatan yang dianugerahkanNya, dapat diri ini memulakan penulisan dalam usaha meletakkan kebenaran di atas kebenaran. Tidaklah ada sesuatu pun yang diharapkan, hanya sanya petunjuk, taufik, hidayah dan cahayaNya menerangi dalam waktu hambaNya yang lemah ini memulakan penulisan ini sehinggalah ke saat pengakhirannya.

Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Jika bukanlah Allah yang membukakan hijab yang menghadang antara kita dan kebenaran, tentunyalah kita tidak akan mampu melihat dengan mata hati dan tidak akan kita faham dengan kefahaman yang benar. Marilah kita mulakan dengan doa yang ikhlas semoga Allah mendorong kita untuk melihat dengan mata hati dan memahami dengan kebenaran. Cukuplah Allah yang menjadi wali kita kerana apabila Allah menjadi wali kita, maka Dia akan membawa kita dari kegelapan kepada cahaya yang terang.

Dalam suasana hari ini, di mana Islam telah kembali ‘dagang’, tentulah kita juga berhadapan dengan cabaran untuk ‘mencari jalan yang lurus’. Terbentuknya pelbagai kumpulan dalam Islam akibat ‘percaturan politik’ dimana kumpulan-kumpulan yang terpecah itu pula mencipta atau mengikuti suatu Mazhab,  Kefahaman atau Aliran dengan menolak Mazhab, Kefahaman atau Aliran yang lain. Persoalannya adalah adakah Mazhab, Kefahaman atau Aliran yang dipaksakan ke atas sesuatu kaum dari umat Islam oleh ‘Kuasa Politik’ itu adalah ‘Jalan Yang Lurus’?

Rasulullah SAW memberitahu kita melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dari kitab Hadis Muslim: “Islam itu bermula dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali dagang (asing) pula. Maka beruntunglah orang-orang yang ‘dagang/asing’ itu. Dalam riwayat lain, para sahabat bertanya mengenai siapakah orang yang ‘dagang/asing’ itu? Rasulullah SAW menjawab: “iaitu orang yang mengamalkan Sunnahku”

Kerana itu, dalam suasana hari ini dimana Islam itu telah berada dalam keadaan yang tidak dipedulikan lagi, amat pentinglah bagi kita untuk menjadi manusia yang ‘asing/dagang’ itu kerana hanya orang yang sedemikian itulah sahaja yang akan beruntung. Untuk menjadi manusia yang ‘asing/dagang’ pula, maka kita wajib untuk memahami dengan jelas mengenai Sunnah Rasulullah SAW, kerana Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa orang yang ‘asing/dagang’ itu adalah orang yang “mengamalkan Sunnah ku”

Saudara-saudara yang ku kasihi,
Sesungguhnya jika Allah tidak memberikan petunjukNya, jika Allah tidak membuka Hijab yang membatasi kita dengan kebenaranNya, jika Allah tidak memperlihatkan jalanNya yang lurus, nescaya kita akan kekal dalam kegelapan tanpa sinar cahaya yang menerangi. Kerana itu, amat penting bagi kita untuk berdoa dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh supaya Allah menyelamatkan kita dari bahaya fitnah yang sedang menguji kita sekarang ini.

Untuk kita mencari ‘kebenaran’, maka amat penting pula untuk kita memahami perkara-perkara yang boleh memesongkan kita dari jalan kebenaran itu, kita mesti juga memahami hambatan-hambatan yang akan menyebabkan kita menjadi manusia yang merasakan bahawa mereka telah berada dijalan yang benar tetapi hakikatnya dia sedang berada pada jalan yang salah. Memang benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa Islam itu akan kembali ‘dagang/asing’ kerana manusia yang benar-benar berada pada Sunnah Rasulullah SAW itu amat sedikit.

Sabda Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Hakim daripada Abu Hurairah yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Umatku akan ditimpa oleh penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat yang dahulu”
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW “Apakah penyakit-penyakit umat dahulu itu ya Rasulullah?”
Lalu Rasulullah SAW menjawab: penyakit-penyakit itu adalah:
1.     Mereka terlalu banyak berseronok
2.     Mereka hidup bermewah-mewah
3.     Mereka menghimpun harta kekayaan sebanyak mungkin
4.     Mereka akan tipu menipu dalam mengejar dunia
5.     Mereka diselaputi sifat marah dan saling memarahi
6.     Mereka akan saling hasut menghasut sehingga zalim menzalimi”  

Lihatlah dengan mata hati yang terbuka, betapa hari ini penyakit ini sudah menular dan merebak dengan dengan sebegitu ketara. Kerana inginkan keseronokan dalam hidup, kerana terlalu mengejar kemewahan dan harta kekayaan, seorang manusia boleh menjadi pembelot kepada Islam itu sendiri. Kerana mengejar keuntungan dunia, seorang peniaga yang tahu barang yang dijualnya itu “Haram”, tetapi tetap menjualnya dan mengatakan ianya adalah “Halal”. Kerana mengejar kedudukan dan kemewahan dunia. Seorang Muslim sanggup menjadi manusia Munafik malahan seorang yang berilmu agama sanggup menjual agamanya.

Semoga Allah melindungi kita, yang ikhlas dalam mencari kebenaran daripada manusia-manusia Zalim tetapi kelihatan Alim.


Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Hari ini, 15 Syaaban, dan beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al Mubarak iaitu suatu bulan yang didalamnya penuh dengan keberkatan dan kerahmatan dari Allah Azzawajalla. Suatu bulan di mana doa mereka yang ikhlas akan dikabulkan oleh Allah Azzawajalla. Kerana itu, ambillah kesempatan ini untuk memohon dengan bersungguh-sungguh supaya Allah tunjuki kita ke jalanNya yang benar.

InsyaAllah, tulisan ini akan dilanjutkan nanti, kita tangguhkannya dulu untuk sementara waktu. Semoga Allah berikan kekuatan kepada kita untuk kembali semula bagi meneliti dan mengkaji kebenaran dari Allah dan RasulNya.

Sama-sama kita akhiri pertemuan kali ini dengan membaca Tasbih Kifarah dan Surah Al Asr .

Assalamualaikum warahmatullah.

No comments:

Post a Comment