Tuesday, June 10, 2014

MEMAHAMI YAKJUJ DAN MAKJUJ

Ku mulakan tulisan ini dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, semuga Allah melindungi diriku yang hina ini daripada tipudaya syaitan yang direjam dan semuga Allah berikan petunjuk dan hidayahnya untuk ku mulakan penulisan ini, memandu ku untuk ku habiskan penulisan ini, Amin ya Zaljala li wal ikram, ya Arhamarrohimin.

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT sekali lagi saya dapat menemui sahabat-sahabat semua dalam ruangan ini bagi  mengutarakan pendapat dan pandangan, insyaAllah kita akan menyambung persoalan mengenai Yakjuj dan Makjuj.  Semoga Allah mengampun diri ini dan menunjukkan jalan yang benar lagi lurus agar pandangan yang dilontarkan ini dapat membuka minda kita bersama untuk kita lebih memahami mengenai Yakjuj dan Makjuj.

Telah saya kemukakan pandangan dan hala fikir mengenai persoalan ini pada tulisan saya yang lalu yang bertajuk "Bertemu Kawan Lama". Antaranya ialah untuk kita memahami dan mengenali Yakjuj dan Makjuj itu, hendaklah kita memahami pada beberapa persoalan penting iaitu:

  1. Bahawa Yakjuj dan Makjuj itu adalah DUA golongan yang berbeza. Dua Puak atau Dua Kaum dimana satu puak bernama Yakjuj dan satu puak lagi bernama Makjuj Jadi jika kita menganggap bahawa Yakjuj dan Makjuj itu adalah satu kelompok manusia atau makhluk sahaja, tentunyalah kita hanya akan memikirkan bahawa mereka itu hanya akan datang dari satu tempat sahaja. 
  2. Bahawa Yakjuj dan Makjuj itu adalah Manusia, ketika Zaman Zulkarnain, mereka itu adalah merupakan puak Nomad (sentiasa berpindah randah) yang Ganas dan Buas.
  3. Kerana mereka itu adalah manusia maka mereka semestinya melalui proses perubahan ketamadunan dari semasa ke semasa dan mereka itu, sebagai sifat manusia, akan bermigrasi dari satu tempat ke satu tempat. 
  4. Bersesuaianlah dengan Firman Allah di dalam surah Al Kahfi:                                        Ayat 98: 
    Dzulkarnain berkata: "Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar".
    Ayat 99: 
    Kami biarkan mereka di hari itu  bercampur aduk antara satu dengan yang lain, kemudian ditiup lagi sangkakala, lalu Kami kumpulkan mereka itu semuanya,                              ######; Yang membawa makna bahawa Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj itu akan masuk dalam golongan kita malahan  hidup bercampur gaul bersama-sama dengan kita.
  5. Bahawa Tembok Zulkarnain itu adalah suatu tembok yang nyata, yang dibina secara zahir yang bertujuan untuk menghalang kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj dari memasuki suatu tempat atau negeri. 
  6. Kerana ianya adalah tembok yang nyata wujud, maka pada waktu ini, tatkala waktu sekarang ini, tidak mungkin berfungsi lagi kerana dunia telah terbuka dari barat ke barat dan dari utara ke utara.
Itulah 5 perkara yang dikemukakan pada penulisan yang lalu dan InsyaAllah akan saya cuba sambungkan persoalan-persoalan untuk kita sama-sama renungkan supaya dengan demikian itu, kita dapat memahami mengenai Yakjuj dan Makjuj itu.

Persoalan seterusnya untuk kita fikirkan dengan akal yang waras adalah seperti berikut:-
  1. Jika kita melihat pada peta dunia atau pada Google Earth, kita pasti dapat melihat setiap inci daratan dan lautan. kerana itu fungsi Tembok Zulkarnain walau dimana sekali pun tembok itu dibina, samada di Cina. Azerbaijan, Turki, Iran atau dimana sahaja, nyatanya bahawa tembok itu tidak dapat berfungsi lagi sebagai penghadang kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj. Kerana itu, semestinya kita faham bahawa mereka itu sekarang ini mungkin telah bersama-sama dengan kita atau mungkin sebahagian kita juga adalah keturunan dari mereka itu.
  2. Jika pada ketika Rasulullah SAW masih hidup, baginda mengatakan bahawa Tembok Zulkarnain itu telah terbuka sedikit, adakah sekarang ini ianya masih lagi tertutup? 
  3. Sebelum kita menilai Hadis-Hadis Rasullullah SAW mengenai Yakjuj dan Makjuj itu, hendaklah kita faham bahawa Rasulullah SAW hidup pada 1400 tahun yang lalu dan baginda walaupun telah diperlihatkan oleh Allah SWT rupa Yakjuj dan Makjuj, tetapi baginda juga tidak dapat menggambarkan secara terperinci mengenai kaum itu kepada para sahabatnya kerana kefahaman mereka (para sahabat) tatkala itu tidak dapat sampai kepada apa yang akan didiperlihatkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW. 
  4. Contoh yang paling mudah ialah mengenai kenderaan manusia pada zaman Dajjal akan diturunkan, Rasulullah hanya mampu memberitahu para sahabatnya bahawa kenderaan tatkala itu adalah pantas sepantas bergeraknya awan di langit. Tetapi hari ini kita mengetahui bahawa, kenderaan itu adalah Kapal Terbang atau Jet.
  5. Ketika kita sendiri dapat memahami bahawa kenderaan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu adalah Kapal Terbang atau Jet, sepatutnya kita kena faham bahawa zaman atau era kelahiran Al Maseh Dajjal, Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj itu sudah sangat hampir.
  6. Rasulullah SAW melalui hadis baginda memberitahu kita bahawa Yakjuj dan Makjuj itu akan menyerang dari tempat yang tinggi, Jika kita sekarang ini berada di dataran yang tiada gunung ganang, adakah kita akan terlepas dari serangan Yakjuj atau Makjuj? Tentunya tidak kerana serangan Yakjuj dan Makjuj itu adalah menyeluruh. Jadi apa maknanya serangan dari tempat tinggi yang Rasulullah SAW maksudkan? Bukankah serangan itu adalah serangan dengan menggunakan Kapal Terbang atau Jet?
  7. Rasulullah SAW melalui hadis baginda juga menyatakan bahawa Yakjuj dan Juga Makjuj itu akan memanah langit dan kemudian anak panah yang turun itu berlumuran darah sehingga mereka mengatakan bahawa mereka telah membunuh Allah Azzawajalla. 
  8. Manusia yang sebesar mana yang boleh memanah sehingga mencapai langit? Anak Panah dan Busur yang sebesar mana pula yang mereka gunakan? Ataukah Rasulullah SAW hendak menggambarkan pelancaran Roket ke langit yang membawa satelit dan terbuka alam maya itu adalah lumuran darah?
  9. Hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj itu terlalu ramai, jumlahnya adalah 9/10 daripada jumlah manusia keseluruhannya. Adakah di Malaysia kita sekarang yang berpenduduk 30 juta orang, 27 juta darinya adalah dari Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj?
  10. Setelah Al Maseh Isa membunuh Dajjal. untuk temph tertentu kemudiannya dia membawa pengikutnya ke Gunung Thursina setelah mereka dikepung oleh Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj, samada kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj saling bekerjasama atau tidak ketika itu, Wallah hu aqlam
  11. Sehingga pada suatu pagi, peninjau mendapati bahawa Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj itu mati bergelimpangan kerana diserang oleh sejenis penyakit sehingga berulat yang memakan leher mereka. 
  12. Nabi Isa diutuskan untuk meruntuhkan salib dan membunuh babi, adakah penyakit yang menyerang Kaum Yakjuj dan Makjuj itu nantinya adalah disebabkan oleh mereka adalah Pemakan Daging Babi?
Sebenarnya banyak lagi perkara untuk kita fikirkan supaya dapat kita membuat renungan mengenai kaum yakjuj dan kaum makjuj ini.

InsyaAllah, kita akan memuatkan sedikit demi sedikit persoalan-persoalan itu sehingga menjadi jelas kepada kita siapakah sebenarnya kaum itu. Sehingga berjumpa dilain tulisan, ayuhlah kita berdoa dengan keikhlasan dalam diri kita agar Allah menghindari kita dari Kaum Yakjuj dan Kaum Makjuj itu.

Wallah hu aqlam
Salam dari saya,
Manmanan     

No comments:

Post a Comment