Monday, July 19, 2010

KRONOLOGI YANG WAJIB DIFAHAMI OLEH UMAT ISLAM KINI (iv)

Kronologi 2: PERSEDIAAN MENERIMA KELAHIRAN AL MAHDI! (Sambungan)

Peringkat kedua Misi Al Mahdi: Membina kekuatan Ummah
Kita telah mengetahui bahawa misi pertama Al Mahdi adalah untuk meruntuhkan system yang membelenggu kehidupan umat Islam sekarang ini dan selepas itu dia akan menjadikan Ummah ini sebagai umat yang satu sebagaimana telah berlaku pada zaman Rasulullah dan Khalifah Arrashidin.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Umat yang satu bermakna didalamnya hanya terdiri dari mereka yang beriman kepada Allah SWT dengan Iman yang benar dan beramal dengan amalan yang diterima oleh Allah SWT. Ketika itu, hukum dan perundangan Allah SWT akan ditegakkan sementara setiap yang bathil akan dimusnahkan.

Jika kita sekarang ini adalah sebahagian daripada penegak kebathilan atau sebahagian daripada mereka yang menegakkan hukum Thoghut, maka ingatlah bahawa semua itu akan berahir dalam tempoh yang sudah sangat singkat. Masa untuk berubah (bertaubat) masih terbuka, ayuhlah kita kembali kepada Islam, kita tolak setiap perkara yang bathil dan mungkar dan kita sama-sama bersedia untuk menyambut kedatangan seorang pemimpin besar iaitu Al mahdi.

Jika selama ini kita menjadi sebahagian dari unsur yang menyebabkan berlakunya fitnah atau sebahagian dari unsur yang menyebarkan kemungkaran atau kebathilan, Ingatlah bahawa Al mahdi akan menghancurkan setiap apa yang kita lakukan itu dan tatkala itu, tiada siapapun yang akan menjadi penolong kita kerana tatkala Islam telah menang, berarti bahawa kebathilan akan tewas dan dimusnahkan.

Jika selama ini kita menjadi sebahagian dari system yang telah merosakkan Islam atau sebahagian dari mekanisma yang dipergunakan untuk melumpuhkan Islam, ingatlah bahawa apa yang kita dukung selama ini akan berakhir dan pasti akan berkubur. Jarak masanya adalah terlalu dekat, jika kita tidak membantu Islam hari ini, berarti kita pasti akan tertolak dan ditewaskan.

Jikapun kita mungkin meninggal dunia terlebih dahulu sebelum Al Mahdi dibai’ah kan, Ingatlah bahawa selepas kematian kita nanti, kita akan dipersoalkan tentang setiap apa yang kita lakukan diatas dunia ini. Tidak akan ada sesuatupun yang akan tertinggal walaupun ianya hanya sebesar ‘zarrah’

Jika selama ini kita mungkin tertipu dan tidak menyedari bahawa kita ini adalah sebahagian dari mekanisma ‘thoghut’ untuk melemahkan Islam, maka hari ini saya mengajak kalian semua, bukalah kedua-dua mata yang Allah SWT anugerahkan untuk kita iaitu mata fizikal yang kita ada dan mata hati yang boleh melihat yang benar dan yang bathil. Jika nafsu, tuntutan hidup atau keperluan zaman yang memaksa kita untuk terus bersama ‘Thoghut’, ketahuilah bahawa semua itu hanyalah bayangan atau ilusi sahaja dan kita tidak akan pernah mampu memperolehnya. Allah menjanjikan sesuatu yang nyata dan penuh dengan rahmat serta kebajikan, tetapi ‘thoghut’ hanya menjanjikan ilusi dan kehancuran.

Sesuatu yang mesti kita ingat adalah bahawa, Al Mahdi datang adalah dengan ‘bala tentera’nya sedangkan bala tenteranya itu bukan hanya manusia tetapi juga para malaikat dari langit. Dia akan dilindungi oleh Allah SWT sehinggalah misinya tercapai. Barang siapa menolaknya kerana memilih ‘Dajjal’, maka dia akan memerangi orang itu sehinggalah tertegaknya ‘Umat yang satu’ yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah s.a.w. Allah telah berjanji untuk memberikan kemenangan kepada Al Mahdi dan dia pasti akan menang sementara mereka yang menolak misi kedatangannya pasti akan kalah dan dihancurkan. Ingatlah ini dengan ingatan yang bersungguh-sungguh wahai sahabat dan saudara-saudaraku.

Peringkat 3 Misi Al Mahdi – Menentang Yahudi dan ‘Dajjal’

Tahukah anda bahawa bersebelahan dengan Masjidil Aqsa sekarang ini sedang dibina ‘Haikal Sulaiman’ atau Yahudi mengenalinya dengan nama ‘Solomon Temple” atau ‘Kuil Sulaiman’. Tahukah anda apakah kepentingan kuil ini sehingga kaum Yahudi berusaha bersungguh-sungguh untuk membinanya? Samada anda mempercayainya atau tidak, sebenarnya Yahudi juga sedang menanti seseorang yang akan datang diakhir zaman. Adakah mereka sedang menunggu kedatangan Al Masih Isa a.s? Jika mereka mengatakan itu, ianya adalah sesuatu yang sangat ‘bohong’, sebab merekalah yang membunuh (orang yang mereka sangkakan) Al Masih Isa a.s. Jadi mereka sedang menunggu siapa?

Tahukah anda kenapa Iraq dijajah oleh Amerika? Sebenarnya ada tujuan lain selain dari ‘minyak’ Iraq, iaitu untuk mengujudkan ‘New World Orde’ melalui seorang ‘raja’ yang bakal keluar dari ‘Iraq’ dimana mereka percaya bahawa dibawah ‘raja’ ini, seluruh dunia akan berada dibawah telapak kaki mereka. Mereka katakan bahawa ‘raja’ ini adalah ‘Al Masih Isa putra Maryam’ yang akan memerintah dunia diatas takhtanya di ‘Solomon Temple’. Hakikatnya, semua ini amat patut kita fahami dengan jelas, jika kita terkeliru, tentunya kita akan tersesat dari jalan Allah SWT.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Kenapa saya mengaitkan mengenai ‘Solomon Temple’ dan penantian orang Yahudi? Ketahuilah bahawa Al Mahdi akan berperang dengan orang yang sedang dinanti-nanti oleh orang-orang Yahudi itu kerana orang itu sebenarnya adalah ‘Al Masih Dajjal’ yang akan menyerupai sebagai ‘Al Masih Isa’. Ketahuilah bahawa waktu kedatangan ‘Al Masih Dajjal’ itu sudah semakin hampir? Tahukah kenapa saya mengatakan demikian? Kerana ‘Solomon Temple’ sudah dalam pembinaan dan dijangka siap sedikit masa lagi begitu juga air ‘tasek galilea’ yang semakin mengering.

Dalam peperangan antara Al Mahdi dengan tentera-tentera Yahudi dan Al Masih Dajjal, apabila ‘api’ menjulang ke langit di Syam (Syria sekarang ini) dan di suatu tempat berhampiran Madinah, ‘Al Masih Isa’ yang sebenarnya akan turun ke dunia dengan dibawa oleh para Malaikat. Baginda akan bergabung dengan Al Mahdi untuk memerangi tentera-tentera Yahudi dan Al Masih ‘Dajjal’.

Tahukah anda apakah maknanya ‘api’ menjulang ke langit di Syam dan Madinah? Banyak ulama’ dahulu membuat pentafsiran mengenai ‘api’ ini kerana tatkala zaman mereka, tidak ada lagi ‘Bom Nuklear’ yang apabila diletupkan akan menyebabkan ‘api’ yang menjulang ke langit. Saya mengatakan begitu kerana apabila ‘Israel’ menghadapi ‘saat sukar’ disebabkan oleh tentera-tentera Al Mahdi maka senjata apakah yang akan digunakan oleh mereka yang sedang mereka simpan sekarang ini?

Peringkat 4 - Misi terakhir Al Mahdi
Al Mahdi akan kembali kerahmatullah sesudah ‘Israel’ dilenyabkan. Dari waktu dia di bai’ahkan hingga terlaksananya misinya yang terakhir iaitu melenyabkan ‘Israel’ adalah dalam tempoh 7 tahun. Ketika dia telah kembali kerahmatullah, Al Masih Isa a.s akan mengambil alih kepemimpinan untuk meneruskan misi kedatangannya kedunia iaitu untuk ‘memakmurkan dunia’, ‘mematahkan salib’ dan ‘membunuh babi’

InsyaAllah, jika diberikan kekuatan oleh Allah SWT, saya akan mengulas lanjut mengenai ‘Al Masih Dajjal’, ‘Al Masih Isa’, ‘Yakjuj dan Makjuj’ serta ‘Khalifaturrashidin’ sesudah kewafatan Al Masih Isa a.s dalam keluaran-keluaran akan datang.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Apa yang saya nukilkan disini adalah merupakan kefahaman saya sendiri hasil dari pembelajaran yang saya terima serta pembacaan dan kajian yang saya lakukan. Sekiranya terdapat di antara sahabat dan saudara-saudara semua yang mempunyai kefahaman yang berbeda, tidaklah perlu kita perdebatkannya sebaliknya adalah lebih baik untuk kita memohon petunjuk dari Allah SWT.

Sebelum saya mengakhiri penulisan saya kali ini, baru-baru ini ada sahabat yang bertanya saya mengenai “bid’ah” yang saya perjelaskan dalam beberapa penulisan saya yang lalu, untuk memahamkan sahabat dan saudara-saudara semua, saya bawakan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tarmizi. Mafhumnya adalah seperti berikut:-
Daripada Abi Najih ‘Irbadh ibnu Sariyah r.a, beliau berkata: “Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w akan satu nasihat yang menggetarkan hati dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata: Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.”
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pimpinan kamu – yang juga bertaqwa dan taat kepada Allah) sekalipun yang memimpin kamu itu hanyalah seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak, (ketika berlakunya perselisihan itu) hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin dan gigitlah Sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham kamu dan jauhilah perkara-perkara baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang bid’ah itu adalah sesat.”


Sebagai menutup penulisan kali ini, saya ingin mengajak sahabat dan saudara-saudara semua untuk kita mengamalkan 10 ayat terawal dari surah Al Kahfi. Rasulullah menyebut bahawa mereka yang mengamalkan pembacaan ayat-ayat ini insyaAllah akan terhindar dari fitnah Dajjal. Yang benar itu sesungguhnya adalah dari Allah SWT dan yang sebaliknya itu adalah daripada ‘salah faham’ saya sendiri. Semuga tulisan ini dapat membantu kita mencari petunjuk dan rahmat dari Allah SWT.

Salam dari saya
Manmanan.

No comments:

Post a Comment