Friday, July 2, 2010

KRONOLOGI YANG WAJIB DIFAHAMI OLEH UMAT ISLAM KINI (iii)

Kronologi 2: PERSEDIAAN MENERIMA KELAHIRAN AL MAHDI! (Sambungan)
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia Allah SWT, pada waktu ini saya dapat sekali lagi memulakan penulisan untuk menyambung topik yang kita perbincangkan terdahulu. Semuga Allah SWT menunjukkan saya ilmu yang benar untuk saya persembahkan kepada saudara-saudara semua.

Pada penulisan saya yang lalu, saya menulis mengenai cara untuk kita mengenali Al Mahdi, seorang pemimpin besar yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui lisan Muhammad Rasulullah s.a.w. Saya telah menulis mengenai fasa-fasa yang sepatutnya kita ketahui berhubung kronologi perlantikan Al Mahdi. Saya telah menyatakan fasa pertama iaitu kelahirannya dan fasa kedua iaitu perlantikannya. InsyaAllah pada kali ini saya akan berusaha untuk menyambung fasa yang ketiga.

Fasa ketiga kedatangan Al Mahdi: Misi Kelahirannya:
Al Mahdi dilahirkan ke dunia ini mempunyai suatu misi yang sangat besar iaitulah sebagai ‘Penyelamat Ummah’. Kerana itu, sebagai seorang Penyelamat Ummah, sebagaimana ‘Penyelamat Ummah’ terdahulu, dia akan melaksanakan misinya melalui beberapa peringkat.

Peringkat pertama Misi Al Mahdi: Mengembalikan Sunnah Rasulullah s.a.w
Dalam banyak penulisan saya yang lalu, saya berusaha untuk menyatakan hakikat sebenar ‘Sunnah Rasulullah s.a.w’ supaya kita dapat menyedari bahawa ‘Sunnah Rasulullah’ itu bukan hanya pada perkara-perkara remeh dan perkara-perkara kecil yang langsung tidak melibatkan persoalan ‘akidah’ tetapi ‘Sunnah Rasulullah s.a.w’ sebenarnya adalah untuk membawa Islam itu sebagai ‘Rahmatan lil Alamin’.

Hari ini, persoalan ‘Sunnah Rasulullah’ telah difahami dengan sebegitu ‘dengkel’ sehingga kita sanggup untuk berpecah belah kerana hal-hal yang sangat ‘tidak masuk akal’. Pada hal, perpecahan itu adalah merupakan suatu ‘fitnah besar’ dan ianya adalah merupakan suatu bid’ah yang sangat merosakkan bukan sahaja merosakkan ‘Akidah’ tetapi juga merosakkan ‘Ummah’.

Pada zaman Khulafa’ Ar Rashidin, tidak ada perselisihan dalam ‘Akidah’, walaupun kadang-kadang mereka terpaksa berperang sesama mereka kerana terdapat perselisihan dalam perkara tertentu, tetapi setelah mereka selesai berperang, mereka kembali kepada ‘Al Quran’ dan mereka saling berdoa semuga Allah mengampunkan kesalahan mereka dan kesalahan orang yang memerangi mereka. Tetapi hari ini, bila kita berdebat sahajapun, walaupun yang berdebat dengan kita itu adalah seakidah dengan kita, kita menganggap orang itu adalah sebagai ‘musuh’ kita. Jika kita kalah ‘berdebat’, maka kita mempergunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan ‘musuh’ kita itu, kita sanggup untuk mengeluarkan kata-kata fitnah dan membuat ‘makar’ melalui kekuasaan yang kita ada untuk menjatuhkan ‘musuh’ kita itu, bukannya untuk menerima kebenaran yang dibawa olehnya. Inilah sifat ‘Yahudi dan Nashara’ yang sangat merosakkan dan kerana kerosakan itulah mereka akan dilemparkan kedalam neraka.

Ketahuilah bahawa semasa Khulafa Arrashidin, tidak ada perpecahan dalam Islam, tetapi fitnah berupa bid’ah yang datang selepas itu menyebabkan berlakunya banyak kerosakan kepada umat ini. Rasulullah menunjukkan khalifah Uthman a.s sebagai pintu kepada fitnah yang besar yang bakal merosakkan kesatuan ummah, selepas kematian Syaidina Uthman, pintu itupun terpecah, kerana Muawiyah menggunakan isu perkauman untuk menjatuhkan khalifah Ali r.a di mana Syaidina Uthman adalah dari Bani Umaiyah sementara Syaidina Ali adalah dari Bani Hashim. Muawiyah menuduh Syaidina Ali tidak mengambil tindakan segera di atas kematian Syaidina Uthman, dia mengumpulkan seluruh Bani Umaiyah, maka terjadilah peperangan.

Selepas kematian Syaidina Ali r.a, Para ahli dalam pemilihan khalifah (Jawatankuasa Pemilihan) telah berbai’ah kepada Syaidina Hassan r.a iaitu anak kepada Syaidina Ali dan Syaidatina Fatimah, beliau adalah merupakan cucu kesayangan Rasulullah s.a.w. Disebabkan untuk menjaga kemashlahatan Ummah, Syaidina Hassan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Demikian itulah, bagaimana seorang yang berakhlak Islam, beliau langsung tidak mementingkan kepentingan dirinya tetapi lebih mementingkan kemashlahatan Ummah.

Selepas kematian Khalifah Muawiyah, suatu bid’ah besar yang lain telah berlaku iaitu tiada lagi pemilihan Khalifah, sebaliknya pemilihan ‘Jawatankuasa’ untuk memilih khalifah telah diabaikan terus. Jawatankuasa ini melantik Syaidina Hussain sebagai Khalifah sementara Yazid iaitu anak kepada Khalifah Muawiyah mengistiharkan bahawa jawatan khalifah itu adalah miliknya. Yazid menggunakan kekuatan tenteranya untuk meruntuhkan system kekhalifahan dan selepas itu bermulalah kaedah pemilihan khalifah berdasarkan kepada keturunan. (Sistem Beraja).

Sayangnya tiada seorangpun ulama’ yang dapat melihat bahawa system tersebut adalah bid’ah yang nyata, sesat dan boleh menyesatkan kerana ‘Iman tidak boleh diwarisi’, tidak semestinya seorang anak akan ‘Islam’ sekiranya bapanya adalah ‘Islam’ maka ketentuan khalifah berdasarkan keturunan menyebabkan lahirnya khalifah yang menegakkan ‘Islam’ dan khalifah yang menegakkan ‘mungkar’. Tetapi Allah SWT tetap memelihara Islam, masih ada mereka yang ikhlas dalam ‘Aqidah’nya hingga akhirnya Islam itu terus berkembang.

Disebabkan untuk menjaga kedudukan dan pangkat, akhirnya Syaidina Hussain iaitu khalifah yang dilantik dan dibai’ahkan oleh ‘Jawatankuasa Pemilihan Khalifah’ telah dibunuh dengan kejam dimana kepalanya telah dipenggal dan diarak ke serata jajahan takluk bagi menunjukkan bahawa system ‘Kekhalifahan Arrashidin’ itu telah diruntuhkan dan digantikan dengan ‘Sistem Beraja’. Berapa orangkah yang berjuang untuk mempertahankan system ‘Khalifahtul Rashidin’ dan menolak system bid’ah?, hanya 40 orang sahaja termasuk wanita dan anak-anak kecil. Selepas itu ‘Ahlul Bait’ yang berusaha untuk memulihkan system ‘Khalifatul Rasyidin’ telah ditindas dan dianiaya. Terpisahlah mereka itu dari ‘ummah’ kerana dianggap sebagai ‘pengacau’ dan kebanyakan mereka membawa diri ke Mesir, Yaman dan Iraq/Iran malahan hingga ke India dan Nusantara (Malaysia dan Indonesia).

Akibat dari ‘penindasan’ ini, lahirlah beberapa ‘puak’ yang berbelas kasihan kepada ‘Ahlul Bait’. Mereka ini berusaha untuk membela ‘Ahlul Bait’ tetapi akhirnya mereka disingkirkan dan dipaksa ‘terpisah’ dari ‘ummah’. Akibat dari itu lahirnya ‘Syiah’ yang pada permulaannya bukanlah berdasarkan ‘agama’ tetapi lebih kepada untuk membela ‘Ahlul Bait’. Disebabkan mereka itu ‘terpisah’ dengan ‘ummah’, maka berlakulah beberapa kerosakan dalam ‘pemahaman’ Islam. Walaupun demikian ‘akidah’ mereka tidak menjadi rosak kerana salah faham itu hanyalah berdasarkan kepada perkara-perkara yang berasaskan kepada hal-hal ‘politik’.

Saya membawakan kisah mengenai bagaimana berakhirnya system ‘Khalifatul Rashidin’ dan bagaimana bermulanya perpecahan yang berlaku kepada Umat Islam ini adalah untuk memberikan kefahaman kepada sahabat dan saudara-saudara semua bahawa ‘Ahlul Bait’ itu tidak bermakna ‘Syiah’ tetapi ‘Syiah’ itu adalah kalangan mereka yang berusaha membela ‘Ahlul Bait’. Tahukah anda apakah maknanya ‘Ahlul Bait’? dan tahukah anda bahawa Imam Shafie sendiri adalah diantara mereka yang mengasihi ‘Ahlul Bait’? dan yang pasti lagi adalah bahawa Al Mahdi yang kita tunggu-tunggu itu adalah dari kalangan ‘Ahlul Bait’. Ini adalah sesuatu yang mesti diingat oleh setiap dari kita.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Jika anda adalah seorang penegak ‘Sunnah’ dan penentang “bid’ah”, maka bukalah kedua-dua mata anda untuk melihat makna “bid’ah” yang sesat yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya setiap yang ‘baru’ yang boleh merosakkan ‘akidah’ itulah perkara yang “bid’ah”. Ketahuilah bahawa ‘sistem’ yang bid’ah itulah yang lebih menyesatkan daripada ‘solat sunat’, ‘berdoa beramai-ramai’, ‘majlis memperingati Rasulullah s.a.w’ dan beberapa yang lain lagi yang semuanya itu langsung tidak merosakkan ‘akidah’.

Apa salahnya mengadakan majlis tahlil? jika anda mengatakan itu adalah suatu bid’ah, sebenarnya anda tidak tahu mengenai sejarah. Tahukah anda bahawa ‘menghiburkan’ mereka yang kematian ‘karib’ terdekat itu adalah merupakan suatu saranan dari Rasulullah s.a.w! bukankah Rasulullah yang menyuruh untuk masyarakat menyediakan makanan dan menghiburkan mereka yang kematian ahli keluarga? Apakah yang lebih menghiburkan mereka daripada jika seluruh masyarakat setempat mendoakan keselamatan dan keampunan Allah untuk simati? Dan apakah yang lebih menyenangkan mereka daripada seluruh masyarakat datang berziarah sambil membawa makanan dan keperluan-keperluan mereka?

Yang bid’ah sebenarnya adalah sikap ‘materialistik’ dan ‘individualism’ masyakat termasuklah diri kita sendiri yang membiarkan waris simati mengadakan ‘majlis tahlil’. Jika ‘waris’ simati mengadakan majlis tersebut dan masyarakat tidak ikhlas dalam mendoakan simati, maka majlis itupun menjadi sesuatu yang membazir dan tidak berfaedah sama sekali. Kenapa ‘waris’ simati yang mengadakan majlis itu? Kemana perginya sikap gotong royong, hormat menghormati, bantu membantu, saling berkasih sayang, saling bertanggung jawab yang ada pada kita?

Semuanya itu hilang hasil dari ‘sistem’ bid’ah yang kita amalkan sekarang ini. Dari sistem inilah lahirnya ‘jiran tak mengenali jiran’, ‘anak tak pedulikan ibu-bapa’, ‘kubur aku bukan kubur engkau’ dan pelbagai perkara lain yang semua itu lahir dari system sekularisma dan kapitalisma yang telah menular masuk ke dalam tubuh dan jiwa umat Islam hari ini. Bukalah mata anda, lihatlah dengan jelas apakah yang bid’ah itu sebenarnya.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Saya bawakan semua ini adalah untuk kita memahami bahawa tugas pertama Al Mahdi itu nanti adalah untuk mengembalikan ‘Sunnah Rasulullah s.a.w’ dan meruntuhkan ‘bid’ah” yang merosakkan akidah dan cara hidup umat Islam. Jika kita ingin bersedia menerima Al Mahdi, maka kita juga mestilah bersedia untuk menerima kesatuan Ummah dan meruntuhkan ‘sistem’ yang merosakkan umat Islam waktu ini.

Peringkat kedua Misi Al Mahdi: Membina kekuatan Ummah
InsyaAllah, peringkat kedua ini akan kita ulas pada penulisan yang berikutnya. Semuga Allah SWT menunjuki kita jalanNya yang benar lagi lurus, Amin.

Wallah hu aqlam
Wassalam.

No comments:

Post a Comment