Wednesday, June 30, 2010

KRONOLOGI YANG WAJIB DIFAHAMI OLEH UMAT ISLAM KINI

Kronologi 2: PERSEDIAAN MENERIMA KELAHIRAN AL MAHDI!
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia Allah SWT, pada waktu ini saya dapat sekali lagi memulakan penulisan untuk menyambung topik yang kita perbincangkan terdahulu. Semuga Allah SWT menunjukkan saya ilmu yang benar untuk saya persembahkan kepada saudara-saudara semua.

Daripada topik yang lepas, saya berharap semuga sahabat dan saudara-saudara semua dapat memahami situasi kita dan di fasa manakah kita berada sekarang ini. Dengan mengetahui situasi diri kita, maka kita dapat memikirkan perancangan lanjut untuk kita bina diri kita kearah kemantapan Iman dan Taqwa, InsyaAllah.

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Dalam topik terdahulu, saya berusaha untuk memahamkan saudara-saudara bahawa sesungguhnya kita sekarang ini berada di waktu terakhir pada Fasa yang ke 4 iaitu pada era di mana Islam itu sudah ‘kembali dagang’ dan kerana Islam itu sudah kembali dagang, maka adalah amat perlu kepada kelahiran seorang pemimpin yang dapat mengembalikan Islam itu di atas landasannya yang sebenar. Kita perhatikan bahawa keadaan zaman gelap di mana umat Islam telah dipecahkan bukan sahaja melalui ideology pegangan seperti apa yang berlaku terhadap Syiah dan Sunni, tetapi yang lebih memparahkan lagi keadaan adalah apabila umat Islam ini terpecah kepada kelompok-kelompok kecil dalam bentuk ‘negara-negara’ di mana pada setiap negara kecil umat Islam itu, Islam tidak lagi didominasikan dalam system pemerintahan tetapi umat ini telah menerima system moden seperti kapitalisma dan komunisma dengan beranggapan bahawa system itu adalah selari dengan system Islam.

Sebenarnya saudara-saudara, pada hari ini kalau kita dapat melihat dengan kedua-dua mata yang Allah anugerahkan untuk kita iaitu mata zahir dan mata hati, pasti kita dapat melihat dengan jelas mengenai pembohongan-pembohongan besar yang sedang berlaku kepada umat Islam. Pada zaman Firaun dan Namrud atau pemimpin-pemimpin besar zaman dahulu yang menolak ‘iman’ kepada Allah SWT, mereka itu memaksa umat yang ‘Islam’ untuk menerima system ‘kuffar’ mereka dan umat yang ‘Islam’ saat itu boleh melihat dengan jelas mengenai kepalsuan yang dipaksakan keatas mereka kerana Firaun dan Namrud menolak hukum Allah SWT dengan terang dan jelas.

Tetapi pada waktu ini, di zaman yang kita ada sekarang ini, dengan pembohongan-pembohongan besar (Rasulullah s.a.w menyebutnya sebagai ‘fitnah’), umat ini telah diperdayakan untuk menerima suatu kaedah yang amat bertentangan dengan Islam dan kaedah itu pula diyakini sebagai salah satu daripada kaedah Islam. Umat ini telah jatuh dalam suatu kancah ‘kerosakan akidah’ tanpa mereka mengetahui bahawa sebenarnya akidah mereka telah dirosakkan. Lebih dahsyat lagi adalah kerana sebahagian para Ulama’ dizaman ini tidak dapat melihat fitnah besar yang sedang berlaku itu, disebabkan itu mereka memfatwakan sesuatu yang bid’ah sebagai halal sedangkan Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa setiap yang bid’ah itu adalah sesat.

Kerana kerosakan atau fitnah yang sedemikian besar itu telahpun berlaku, sudah menjadi ketentuan Allah SWT bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan manusia yang berkeyakinan pada keujudanNya untuk terus dirosakkan. Demikian itu adalah kerana kasih sayang Allah SWT kepada manusia. Kita melihat, bagaimana pada setiap zaman, apabila kerosakan telah berleluasa, maka Allah akan menghantarkan seorang ‘penyelamat’ untuk menyelamatkan ‘kekasih-kekasihnya’ di atas muka bumi ini. Diatas keyakinan itu jugalah saya sangat percaya bahawa Al Mahdi akan didatangkan dalam waktu yang terdekat ini.

Diperkuatkan pula dengan beberapa petanda yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w mengenai kedatangan seorang Al Mahdi atau ‘penyelamat’ seperti:-
 Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa antara tanda-tanda dekatnya kelahiran Al Mahdi itu ialah akan berlakunya gerhana bulan dan gerhana matahari pada bulan Ramadhan tahun yang sama.
Petanda ini telah berlaku pada tahun 1982 iaitu gerhana bulan berlaku pada 14hb Ramadhan dan gerhana matahari pada 28hb Ramadhan.
Kerana itu jika kita dapat memerhatikan hal ini dengan ‘dua mata’, ini adalah merupakan suatu petanda bahawa umat Islam bakal menerima seorang Al Mahdi dalam tempoh yang terdekat.
 Melintasnya dari arah timur ke barat ‘bintang berekor’ dan manusia dapat melihatnya. Hal ini berlaku apabila komet ‘Haley’ melintasi bumi pada tahun 1986 dan ianya dapat dilihat oleh penduduk bumi bergerak dari arah timur ke barat. Ini juga adalah merupakan suatu petanda yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. dan komet Haley ini sering dikaitkan dengan kelahiran manusia-manusia ‘besar’ semenjak dari zaman Adam a.s
 Seperti mana telah pecahnya tembok-tembok istana tanda kebesaran kerajaan Parsi iaitu salah sebuah dari kuasa besar dunia semasa kelahiran Rasulullah s.a.w, maka hari ini telah berlaku tragedy 11 September yang telah meruntuhkan tanda kebesaran kerajaan Amerika suatu kuasa besar dunia ketika ini.

Sebenarnya terdapat lebih banyak lagi tanda-tanda bahawa kelahiran Al Mahdi itu sudah sangat hampir, cuma persoalannya, apakah persediaan kita untuk menerima kedatangannya.Kita akan menerima kedatangan seorang tetamu yang amat kita nanti-nantikan, yang akan menjadi seorang pemimpin kepada seluruh umat Islam sedunia ketika ini. ‘Super VVIP’ ini telah dikhabarkan kedatangannya semenjak lebih 1400 tahun yang lalu oleh seorang pemimpin terulung seluruh manusia iaitu nabi besar kita Muhammad Rasulullah s.a.w. Jika seorang menteri datang ke tempat kita, kita siapkan pelbagai persediaan, maka apakah persediaan kita untuk menerima kedatangan seorang pemimpin yang dijanjikan untuk menjadi pemimpin kepada seluruh umat Islam?

Kearah membuat persiapan ini, ingatlah pada peringatanku ini wahai sahabat dan saudara-saudaraku, ingatlah bahawa kita ini jangan sampai menjadi seperti Yahudi dan Nashara atau Ahli Kitab pada ketika sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Mereka ternanti-nanti kedatangan seorang Nabi Penyelamat Ummah, mereka mengenalinya seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, mereka mengetahui segala petanda semasa kelahirannya, mereka mengetahui tanda-tanda kenabiannya, mereka ketahui tempat dia akan menyempurnakan risalah kenabiannya dimana mereka telah berhijrah ke sana (ke Yathrib) untuk menyambut kedatangannya, tetapi setelah kedatangannya, setelah Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah SWT, mereka menolak risalah yang dibawanya, mereka menolak misi yang diusahakannya sehinggakan penantian yang mereka buat untuk sekian lama itu menjadi sia-sia sahaja. Apakah kita akan melakukan hal yang sama?

Sahabat dan saudara-saudaraku,
Untuk itu, sebelum kita membuat sebarang persediaan, hendaklah kita mengetahui terlebih dahulu bagaimanakah kronologi kedatangannya dan apakah misi yang akan dibawa oleh Al Mahdi . Iaitu bagaimanakah cara kelahirannya, cara perlantikannya dan apakah yang akan dilakukannya setelah dia diangkat sebagai Al Mahdi? Jika kita gagal memahami persoalan ini, maka kita mungkin tidak mengenalinya walaupun dia sudah berada dihadapan kita.

Fasa pertama kedatangan Al Mahdi: Kelahirannya:
Baginda akan dilahirkan sebagai manusia biasa sebagaimana kelahiran Rasulullah s.a.w ‘tanpa sebarang mukjizat kelahiran’ (sebagaimana Isa Putra Maryam yang dilahirkan boleh bercakap), hanya Ibu atau bapa baginda yang akan diberikan petunjuk mengenai kelahirannya seperti ibu Rasulullah s.a.w yang bermimpi bahawa anak yang bakal dilahirkannya bercahaya seumpama bulan. Nama Baginda adalah samada Ahmad atau Muhammad dan nama bapa Baginda adalah Abdullah. Baginda adalah dari keturunan Rasulullah s.a.w iaitu daripada keturunan Hassan atau Hussin anak kepada Syaidina Ali dan Syaidituna Fatimah Az Zahra.

Baginda akan dibesarkan dalam pemeliharaan Allah SWT dan Allah jugalah yang akan melindunginya sebagaimana Allah telah melindungi Nabi Musa a.s. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu melindungi orang yang dipilihnya kerana kelahirannya bukan sahaja ditunggu oleh kita umat Islam, tetapi juga dia sedang dinantikan oleh kaum Zionis Yahudi dan ‘Jasassah’ Dajjal. Mereka iaitu Zionis Yahudi dan Dajjal mengetahui bahawa Baginda adalah diantara manusia pilihan yang akan menewaskan mereka. Sudah tentulah mereka akan berusaha untuk membunuhnya jika mereka mengetahui kelahirannya sebagaimana Firaun berusaha membunuh Musa a.s

Fasa kedua kedatangan Al Mahdi: Perlantikannya:
Sesungguhnya tidak akan ada lagi nabi atau Rasul sesudah Muhammad s.a.w yang bermakna bahawa tidak akan ada lagi ‘wahyu’ yang akan turun dari langit sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w. Perkara ini mestilah diingat dengan bersungguh-sungguh dan difahami dengan teliti. Ketahuilah bahawa Al Masih Isa Putra Maryam a.s ketika diturunkan nanti itupun tidak akan lagi menerima wahyu dari langit. Pintu wahyu telah tertutup dan tidak akan terbuka lagi dan sesiapa yang mengatakan bahawa dia menerima wahyu dari Allah SWT, maka manusia itu adalah ‘Dajjal’ atau penipu besar. Saya mengingatkan hal ini adalah kerana Al Mahdi yang kita nantikan itu bukanlah seorang Nabi kerana itu janganlah keliru atau dikelirukan dengan berita-berita bohong yang mungkin saja akan sampai kepada kita nanti.

Sesungguhnya junjungan kita, Muhammad s.a.w itu adalah manusia biasa, tiada keganjilan dalam sifat kemanusiaannya maka sebegitu juga dengan Al Mahdi. Dia adalah manusia biasa tanpa sebarang keganjilan pada sifat kemanusiaannya. Dia bukanlah manusia yang telah mati tetapi dihidupkan semula ataupun dia bukan juga seorang manusia yang telah hidup beratus tahun dahulu kemudian ghaib dan akan muncul kembali.

Saya juga ingin mengingatkan diri saya sendiri, keluarga dan keturunan saya serta sahabat dan saudara-saudara semua bahawa mimpi seorang Islam (yang benar dalam ‘Iman’, ‘Amal’ dan ‘Taqwa”nya) akan menjadi mimpi yang benar ketika hampir tibanya waktu Al Mahdi dibai’ahkan. Jika Allah memberikan mimpi kepada saudara bahawa Al Mahdi akan dibai’ahkan pada waktu tertentu, maka pergilah ke Makkah untuk menyambut Baginda dan berbai’ah kepada Baginda.. Jika anda tidak meyakini bahawa orang itu adalah Al Mahdi, maka mintalah dia menunjukkan tanda kelahirannya kerana tanda kelahiran Al Mahdi adalah sama dengan tanda kelahiran yang ada pada Rasulullah s.a.w. Hanya itulah petanda untuk kita pergi berbai’ah kepada Baginda sebagai merestui perlantikan yang diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda. Hanya itulah sahaja cara untuk kita mengetahui mengenai siapakah yang hendak kita bai’ahkan sebagai Al Mahdi sepertimana yang ditunjuki oleh Rasulullah s.a.w.

Jika sekiranya kita tidak dapat menghadirkan diri ataupun kita tidak memperoleh sebarang perkhabaran mengenai “bai’ah” itu, suatu petanda lagi yang sepatutnya kita tahu ialah bahawa sesudah baginda di bai’ahkan, akan berlaku dimana baginda akan diperangi oleh tentera-tentera kaum kuffar. Kita tidak mengetahui samada tentera itu merupakan tentera kepada penjaga ‘Haramain’ ataupun tentera kuffar dari luar. Mereka (tentera kuffar) itu mengejar untuk membunuh Al Mahdi sehingga tiba di padang pasir, kemudian Allah SWT akan menenggelamkan sebahagian besar tentera-tentera itu kedalam bumi. Bermakna bahawa akan berlaku peperangan diantara Al Mahdi dan mereka yang berbaiah kepadanya dengan tentera-tentera kuffar tetapi Allah SWT menyelamatkan pemimpin yang dipilihNya. Dengan petanda itu, selagi kita tidak mendengar berita mengenai peperangan yang meletus berhampiran Makkah dan orang yang diperangi itu mencapai kemenangan, maka selagi itulah Al Mahdi itu belum lagi dibai’ahkan.

Fasa ketiga dan seterusnya insyaAllah akan kita muatkan dalam penulisan yang akan datang. Jika sahabat dan saudara semua mempunyai kesukaran untuk mendapatkan penulisan ini, bolehlah sahabat dan saudara-saudara semua dapatkannya dari http//manmanan.blogspot.com

Semuga Allah menunjuki kita kejalanNya yang benar lagi lurus.
Wallah hu aqlam.

No comments:

Post a Comment