Friday, June 25, 2010

SIAPAKAH IMAM MAHDI?

Banyak juga hadis sahih dari perawi yang muktabar yang menjelaskan mengenai Imam Mahdi yang juga dikenali sebagai Penyelamat kepada umat Islam ketika sampainya waktu penghujung ‘Zaman Gelap’ yang menimpa umat Islam. Antara hadis-hadis tersebut adalah untuk memperkenalkan Imam Mahdi itu kepada umat Islam iaitu mengenai namanya, keturunannya dan perawakannya. Begitu juga terdapat hadis-hadis yang menerangkan mengenai waktu kedatangannya.

Tetapi hari ini saya mengulas sesuatu yang agak berbeza dari ulasan-ulasan mengenai Al Mahdi yang pernah saudara semua ikuti iaitu sesuatu yang sangat mencemaskan diri saya sendiri. Saya ingin mengulas mengenai misi yang akan dibawa oleh Al Mahdi itu supaya dengan demikian kita dapat mengetahui apakah tujuan kelahirannya, apakah tujuan Allah SWT mengutuskannya. Dengan kita memahami tujuan utama kenapa dan mengapa dia dilahirkan dan diutuskan di atas muka bumi ini, maka kita berharap semuga kita akan dapat menerima kehadirannya nanti.

Ingatlah pada wasiatku ini wahai saudara-saudaraku, ingatlah bahawa kita ini jangan sampai menjadi seperti Yahudi dan Nashara atau Ahli Kitab pada ketika sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Mereka ternanti-nanti kedatangan seorang Nabi Penyelamat Ummah, mereka mengenalinya seperti mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, mereka mengetahui segala petanda semasa kelahirannya, mereka mengetahui tanda-tanda kenabiannya, mereka ketahui tempat dia akan menyempurnakan risalah kenabiannya, tetapi setelah kedatangannya, setelah Muhammad s.a.w diutuskan oleh Allah SWT, mereka menolak risalah yang dibawanya, mereka menolak misi yang diusahakannya sehinggakan penantian yang mereka buat untuk sekian lamanya itu menjadi sia-sia sahaja.

Saudara-saudaraku,

Ketahuilah bahawa, kedatangan Al Mahdi yang kita nanti-nantikan itu bukan hanya untuk berperang bagi menyelamatkan umat Islam semata-mata, tetapi juga dia akan berperang menentang umat Islam itu sendiri. Dia akan menghancurkan mereka yang menolak Misi yang dibawanya, dia akan menentang mereka yang merosakkan Islam dan Allah akan menentukan kemenangan kepadanya. Jadi kita ini akan berada di mana? Adakah kita ini akan bersama dengan tentera Al Mahdi atau kita akan bersama dengan pendukung-pendukung kefasikan yang akan diperangi oleh tentera Al Mahdi? Sebab itulah kita mesti mengetahui hal ini secara mendalam dan teliti, supaya apabila dia iaitu Al Mahdi itu telah diutuskan, kita akan menjadi salah seorang dari pendukungnya.

Sesungguhnya aku amat bimbang wahai saudara-saudaraku, kebimbangan yang amat sangat, apakah nanti kita semua ini akan menjadi salah seorang dari pendukung atau menjadi salah seorang anggota jemaah Al Mahdi atau kita akan menjadi penentang-penentangnya dengan kita mengkafirkannya dan menolak apa yang dibawanya sedangkan apa yang dibawanya itu adalah kebenaran dari Allah SWT.

Ketahuilah saudara-saudaraku,

Bahawa Al Mahdi itu nanti akan menegakkan Sunnah Rasulullah s.a.w dan dia akan melaksanakan Sunnah itu dengan sebenar-benarnya. Ingatkah lagi kita pada hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim dan Muslim mengutip hadis itu daripada Abu Hurairah r.a di mana Abu Hurairah mengatakan bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Islam itu bermula dagang/asing dan akan kembali dagang/asing pula, maka beruntunglah orang-orang yang dagang/asing itu”

Itulah Misi pertama Al Mahdi, sama seperti Misi Rasulullah s.a.w iaitu untuk membebaskan Islam daripada berkeadaan ‘dagang/asing’ kepada berkeadaan sempurna lagi menyempurnakan sehingga Islam itu akan menjadi “Rahmatan Lil ‘Alamin”.

Saudara-saudaraku,

Tahukah kita bahawa sesungguhnya pada waktu ini Islam itu telah kembali dagang? Dapatkah kita merasainya? Dapatkah kita melihatnya?. Ketahuilah bahawa jika kita melihat hanya menggunakan ‘satu mata’, pasti kita tidak akan dapat melihat dan merasainya, kerana itu gunakanlah ‘dua mata’ yang Allah anugerahkan untuk kita semua, iaitu ‘mata zahir’ dan juga ‘mata hati’. Apabila kita menggunakan dua mata yang Allah anugerahkan untuk kita, pasti kita dapat melihat betapa Islam itu sedang terpenjara, menunggu-nunggu penyelamat untuk membebaskannya kembali.

Hari ini kita merasakan bahawa kita dengan amalan kita sudah memadai untuk mendapat ‘keredhaan’ Allah SWT. Kita merasakan bahawa kefahaman kita adalah merupakan kefahaman yang terbaik dan mengatasi semua kefahaman orang lain, sama sahaja seperti mana kaum Ahli Kitab sebelum kedatangan Muhammad s.a.w.

Kita mengatakan bahawa kita ini adalah ‘Ahlissunnah Wa Jamaah’, kita mengatakan bahawa kita ini adalah pendukung/anggota jamaah untuk menegakkan ‘Sunnah Rasulullah s.a.w’ , Benarkah demikian atau ianya hanya angan-angan kita sahaja? Lihatlah dengan ‘dua mata’ wahai saudara-saudaraku. Bertanyalah pada diri kita sendiri dengan pertanyaan yang benar dan ikhlas.

Janganlah kita menjadi seperti Ahli Kitab yang ditegur oleh Allah SWT didalam surah Al Baqarah ayat 111 yang mafhumnya: “Berkatalah mereka itu: tidak akan masuk syurga melainkan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nashrani, demikianlah angan-angan mereka. Katakanlah: unjukkan dalil jika kamu orang yang benar!”

Janganlah kita terpedaya wahai saudara-saudaraku sebagaimana terpedayanya kaum Yahudi dan Nashrani. Janganlah kita mengangankan syurga Allah sekiranya kita tidak pernah melaksanakan apa yang Allah kehendaki kita laksanakan. Allah tidak akan menyoal kamu, apakah kamu ini dari mazhab A atau dari mazhab B, tetapi Allah akan menanyai kamu tentang Iman dan tentang amal kamu. Allah tidak akan bertanya adakah kamu syiah atau sunni tetapi Allah menyatakan bahawa jika kamu beriman dan bertaqwa kepada Allah, kamu pula menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar kemudian kamu beramal dengan amalan soleh, maka Allah akan membalasi kamu dengan balasan yang baik.

Takutlah kepada Allah kerana Dia yang memiliki Hari Perhitungan, jika kelak Allah menanyakan kita tentang apa yang kita lakukan untuk menyelamatkan Islam? Adakah kita akan menjawab: “aku sibuk dengan kehidupan duniaku hingga aku tidak sempat membuat apa-apa!!” atau adakah jawaban kita: “aku ini miskin, kerana itu aku terpaksa bekerja dari pagi hingga malam hingga aku tidak ambil tahu persoalan itu!!” atau adakah jawaban kita: “aku sibuk dengan parti politik yang aku sertai dan tiada masa untuk memikirkannya!!”, atau adakah jawaban kita: “ aku telah mengajak manusia kepada Ulama’ Salaf tetapi aku sendiri tidak memahami dan melaksanakannya” atau adakah jawaban kita: “aku sibuk menyuruh orang bersolat secara sunnah hingga aku lupa untuk menyelamatkan Islam!!” atau adakah jawaban kita: “aku sibuk mencari jalan untuk membenarkan suatu yang mungkar hingga aku lupa kepada Islam!!” atau adakah jawaban kita: “aku sibuk mencari kesalahan mereka yang tidak sealiran dengan mazhabku sehingga aku terlupa pada nasib Islam!!”

Tanyalah pada diri kita wahai saudara-saudaraku, adakah jawaban-jawaban itu akan membawa kita kepada keredhaan Allah SWT…

Yang baik itu dari Allah dan yang sebaliknya itu adalah dari salah faham diri saya sendiri, semuga Allah melindungi kita dari fitnah akhir zaman yang sangat berleluasa sekarang ini, Amin.

Wallah hu aqlam.

1 comment:

  1. Terima kasih kerana membuat blog ini.. :)
    Saya juga mencari cahaya..
    Terlampau banyak yang dapat saya pelajari disini yang tidak pernah diajar di sekolah..

    ReplyDelete