Monday, June 28, 2010

MEMAHAMI KRONOLOGI IMAM MAHDI

Alhamdulillah, dengan rahmat Allah SWT pada waktu ini sekali lagi saya berkesempatan untuk meneruskan penulisan saya mengenai kronologi kedatangan seorang pemimpin yang sedang kita tunggu-tunggu, seorang pemimpin yang telah dinyatakan untuk umat ini oleh Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu. Kearah itu, suatu kaji bedah perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh supaya dengan itu, kita dapat memahami dengan mendalam. Dengan pemahaman itu, kita tidak akan tertipu dengan mereka yang akan mengakui bahawa dia adalah Al Mahdi yang dijanjikan untuk umat Islam disamping kita dapat membuat persediaan untuk menerima kedatangannya.

Adakah Al Mahdi telah dilahirkan?
Pada tajuk “Kronologi yang mesti difahami oleh umat Islam kini”, saya membawakan untuk saudara saudara hasil kefahaman saya terhadap beberapa hadis Rasulullah s.a.w dalam usaha baginda memberitahu umat Islam mengenai permasalahan datangnya hari ‘Kiamat’, Semuga kefahaman itu adalah datang dari Allah SWT dan semuga Allah SWT melindungi saya dari menyatakan hal-hal yang palsu, Amin.

Dalam kronologi itu, saya berusaha untuk memahamkan saudara-saudara bahawa sesungguhnya kita sekarang ini berada di Fasa yang ke 4 iaitu pada era di mana Islam itu sudah ‘kembali dagang’ dan kerana Islam itu sudah kembali dagang, maka adalah amat perlu kepada kelahiran seorang pemimpin yang dapat mengembalikan Islam itu di atas landasannya yang sebenar. Kita perhatikan bahawa keadaan zaman gelap di mana umat Islam telah dipecahkan bukan sahaja melalui ideology pegangan seperti apa yang berlaku terhadap Syiah dan Sunni, tetapi yang lebih memparahkan lagi keadaan adalah apabila umat Islam ini terpecah kepada kelompok-kelompok kecil dalam bentuk ‘negara-negara’ di mana pada setiap negara kecil umat Islam itu, Islam tidak lagi didominasikan dalam system pemerintahan tetapi umat ini telah menerima system moden seperti kapitalisma dan komunisma dengan beranggapan bahawa system itu adalah selari dengan system Islam.

Sebenarnya saudara-saudara, pada hari ini kalau kita dapat melihat dengan kedua-dua mata yang Allah anugerahkan untuk kita iaitu mata zahir dan mata hati, pasti kita dapat melihat dengan jelas mengenai pembohongan-pembohongan besar yang sedang berlaku kepada umat Islam. Pada zaman Firaun dan Namrud atau pemimpin-pemimpin besar zaman dahulu yang menolak ‘iman’ kepada Allah SWT, mereka itu memaksakan umat yang beriman untuk menerima system mereka dan umat yang ‘Islam’ saat itu boleh melihat dengan jelas mengenai kepalsuan yang dipaksakan keatas mereka kerana Firaun dan Namrud menolak hukum Allah SWT dengan terang dan jelas. Tetapi pada waktu ini, di zaman yang kita ada sekarang ini, dengan pembohongan-pembohongan besar itu, umat ini telah diperdayakan untuk menerima suatu kaedah yang amat bertentangan dengan Islam dan kaedah itu pula diyakini sebagai salah satu dari kaedah Islam. Umat ini telah jatuh dalam suatu kancah ‘kerosakan akidah’ tanpa mereka mengetahui bahawa sebenarnya akidah mereka telah dirosakkan.
Kerana kerosakan yang sedemikian besar itu, tentunya Allah SWT tidak akan membiarkan manusia yang berkeyakinan pada keujudanNya untuk terus dirosakkan. Kita melihat, bagaimana pada setiap zaman, apabila kerosakan telah berleluasa, maka Allah akan menghantarkan seorang ‘penyelamat’ untuk menyelamatkan ‘kekasih-kekasihnya’ di atas muka bumi ini. Diatas keyakinan itu jugalah saya sangat percaya bahawa Al Mahdi akan didatangkan dalam waktu yang terdekat ini.

Sesungguhnya, telah berlaku beberapa petunjuk yang sangat jelas mengenai kelahiran Al Mahdi. Saya tidak berhasrat untuk menyatakan mengenai tanda-tanda itu secara keseluruhannya kerana kita boleh dapatkannya daripada laman-laman yang berkaitan dengan petanda-petanda itu, tetapi saya hanya mengemukakan beberapa petanda yang menunjukkan bahawa Al Mahdi itu samada telah dilahirkan atau akan dilahirkan dalam tempoh yang terdekat ini. Antara tanda-tanda itu adalah:-
 Berlakunya gerhana bulan dan gerhana matahari dalam bulan Ramadhan. Hal ini amat jarang berlaku, tetapi ianya telah berlaku selama dua tahun berturut-turut, perkara ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai suatu tanda kelahiran seorang Al Mahdi. Kerana itu jika kita dapat memerhatikan hal ini dengan ‘dua mata’, ini adalah merupakan suatu petanda kepada suatu kelahiran besar.
 Melintasnya dari arah timur ke barat ‘komet haley’ berhampiran bumi dan ianya dapat dilihat oleh penduduk bumi dan kita menamakannya sebagai ‘bintang berekor’. Ini juga adalah merupakan suatu petanda yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w.
 Seperti mana telah pecahnya tembok-tembok istana tanda kebesaran kerajaan Parsi iaitu salah sebuah dari kuasa besar semasa kelahiran Rasulullah s.a.w, maka hari ini telah berlaku tragedy 11 September yang juga meruntuhkan tanda kebesaran kerajaan Amerika, suatu kuasa besar ketika ini.
Tiga petanda ini, menunjukkan dengan jelas bahawa Al Mahdi telah dilahirkan dan sedang membesar di bawah jagaan Allah SWT. Apabila tiba waktunya, maka dia akan dibai’ahkan di Masjidil Haram.

Bagaimana Perlantikan Al Mahdi?
Sesiapa sahaja boleh mengakui bahawa dia adalah Al Mahdi, tetapi hanya Al Mahdi yang dipilih oleh Allah s.w.t sahaja yang akan mampu melaksanakan misi kelahirannya kerana itu kita mestilah memahami dengan jelas mengenai misi Al Mahdi bagi mengelakkan kita dari tertipu oleh mereka-mereka yang mengakui bahawa dia adalah Al Mahdi.

Sesuatu yang paling jelas adalah bahawa, tidak seperti Rasulullah s.a.w yang menerima wahyu Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w kemudiannya keluar ke jalanan untuk menjalankan dakwahnya dengan mengakui bahawa dia adalah Rasulullah, Al Mahdi tidak menerima sebarang wahyu dari Allah s.w.t dan dia sendiri tidak akan mengakui bahawa dia adalah Al Mahdi sehinggalah dia disuruh untuk menerima tugasan Al Mahdiyyin itu oleh segolongan umat Islam yang samada mereka itu (umat Islam yang berbai’ah kepada Al Mahdi) mengenalinya ataupun kerana mereka itu memerlukan beliau untuk melaksanakan tugas Al Mahdiyyin. Setelah beliau berjaya dalam misi untuk meruntuhkan kerosakan yang berlaku kepada umat Islam sedunia dan dia pula kemudiannya bergabung dengan Isa Putra Maryam a.s menewaskan Zionis dan Yahudi laknatullah yang telah banyak merosakkan akidah umat Islam, barulah diketahui bahawa sebenarnya dia adalah Al Mahdi seperti yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. Hal ini sebenarnya adalah hampir sama dengan Salahuddin Al Ayubi yang telah membebaskan Palestin tanpa menyedari bahawa dia adalah merupakan orang yang telah disebut didalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Suatu hal yang amat penting untuk diketahui oleh semua mereka yang sedang menanti kedatangan Al Mahdi ialah bahawa, setelah dia (Al Mahdi) di bai’ahkan, tentera-tentera kufar akan mengejar untuk membunuhnya, tetapi Allah yang akan menyelamatkan beliau dan pengikut-pengikut beliau dengan menenggelamkan sebahagian besar tentera kufar itu ke dalam bumi, apabila sebahagian tentera kufar itu ditelan oleh bumi, maka sebahagian yang masih bersisa itu akan turut menjadi pengikut kepada Al Mahdi. Saya menekankan petanda ini adalah kerana hanya dengan petanda itu sahaja yang kita ada untuk kita dapat mengenali Al Mahdi yang dijanjikan oleh Allah s.w.t melalui lisan Muhammad Rasulullah s.a.w lebih 1,400 tahun yang lalu. Selagi tidak berlakunya samada tanah runtuh, gempa bumi atau peperangan yang menyebabkan kematian ramai tentera-tentera di padang pasir berhampiran dengan Makkah. Peperangan yang menewaskan banyak askar-askar ataupun polis-polis yang kita tidak ketahui samada polis atau askar itu datangnya dari penjaga ‘Haramain’ atau dari luar, itu bermakna bahawa Al Mahdi masih belum di bai’ahkan. Sehingga ke waktu ini, petanda itu masih belum berlaku.

Siapakah yang akan berbai’ah kepada Al Mahdi?
Dalam usaha untuk mencari siapakah yang akan berbai’ah kepada Al Mahdi ini, yang pertama untuk kita mengetahuinya ialah bahawa tidak akan ada seseorang jua pun di dunia ini yang akan mengangkat bai’ah kepada seseorang sekiranya orang itu tidak terlebih dahulu menunjukkan keupayaannya ataupun tanpa orang yang mengangkat bai’ah itu mengenalinya. Ini amat penting diketahui kerana semasa beliau di bai’ahkan, Al Mahdi itu mestilah merupakan seorang pemimpin yang dikenali oleh orang-orang yang akan berbaiah kepadanya.

Hal ini menunjukkan bahawa, ketika ini (sekiranya Al Mahdi itu lahir dalam tahun 1990an) dia sudah berumur dalam lingkungan 20an dan tentunya sedang dalam persiapan untuk menjadi pemimpin kepada sebuah organisasi samada organisasi itu berupa sebuah kerajaan (yang bernegara) ataupun sebuah pertubuhan bukan kerajaan. Yang wajib kita ketahui ialah nama beliau adalah Muhammad ataupun Ahmad, dan beliau akan menjadi seorang pemimpin yang dikenali serta boleh diterima oleh pemimpin-pemimpin organisasi yang lain. Sekiranya kepimpinannya hanya diiktiraf oleh perkumpulan mereka sahaja tetapi tidak menerima pengiktirafan dari pemimpin organisasi yang lain, itu membawa makna bahawa beliau bukanlah seorang Al Mahdi walaupun namanya Ahmad atau Muhammad. Ini adalah kerana Al Mahdi akan dibai’ah oleh beberapa orang pemimpin organisasi Islam yang memerlukan khidmatnya untuk melaksanakan tugasan Al Mahdiyyin. Beberapa pemimpin besar dalam pergerakan atau negara Islam akan diberi hidayah oleh Allah SWT untuk berbai’ah kepada Al Mahdi, setelah menerima bai’ah itu, Al Mahdi akan membentuk pasukan tenteranya, tidaklah dapat dipastikan bentuk ketenteraan yang akan dilaksanakan oleh Al Mahdi, tetapi yang jelas, tenteranya adalah mereka yang sanggup untuk berjihad menentang Zionis/Yahudi Laknatullah, mereka akan bergerak untuk meruntuhkan system kapitalisma yang ditunjangi oleh Zionis/Yahudi dan kemudian membentuk suatu system peradaban Islam dengan sempurna.

Apa yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w ialah bahawa Al Mahdi itu akan dibantu oleh tentera-tentera yang berpakaian hitam atau berwarna gelap yang akan datang dari timur, makna timur itu adalah merupakan timur Madinah, mungkin saja ia adalah merupakan organisasi bukan kerajaan atau mungkin juga kerajaan samada di Iraq, Iran, Afghanistan, Chechnya, India, Sri Lanka, Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Jepun malahan China. Maka pimpinan organisasi ini adalah diantara mereka yang akan berbaiah kepada Al mahdi di hadapan Kaabah nanti. Bagi kita yang berada di Indonesia dan di Malaysia, Negara yang kebanyakan penduduknya adalah Islam, sepatutnya kita telah membuat persediaan untuk itu, iaitu menzahirkan sebuah kerajaan yang boleh menerima kedatangan Al Mahdi dan menolak system kapitalisma barat yang merosakkan. Kearah itu, kita perlu berada di dalam suatu jamaah untuk bergerak bersama. Semuga Allah menunjuki kepada kita jalanNya dan membukakan hijab yang selama ini menutupi pandangan kita.

Pesanan buat Ummah
Suatu hal yang perlu kita ketahui ialah bahawa Al Mahdi itu dilahirkan seperti mana Muhammad s.a.w dilahirkan bukannya dia akan diturunkan seperti mana Isa Putra Maryam diturunkan (turun dari langit, dibawa oleh para Malaikat). Al Mahdi akan meninggal dunia seperti mana Muhammad s.a.w meninggal dunia, cuma Al Mahdi akan meninggal dunia sebelum usianya meningkat tua bukannya dia dipanjangkan usia hingga beratus-ratus tahun dalam suatu tempat persembunyian ataupun dia telah mati tetapi akan dihidupkan semula. Saya mengingatkan saudara-saudara semua persoalan ini semata-mata untuk mengingatkan kita bahawa Al Mahdi itu adalah seorang manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk memimpin umat secara yang normal dibawah perlindungan dan pertolongan dari Allah SWT, dan dia tidak akan dibaluti oleh sesuatu yang mistik atau keajaiban, inilah Al Mahdi.

Pada penulisan yang lalu, saya telah mengemukakan mengenai misi pertama Al Mahdi, iaitu untuk mengembalikan Islam itu supaya berada di atas landasannya yang sebenar. Dalam usaha ini, seperti halnya dengan Salahuddin Al Ayubi, beliau akan mengumpul kekuatan dengan cara mengajak samada organisasi atau negara-negara Islam bagi menyertai beliau, bagi negara yang menyokongnya dan berbai’ah kepadanya, tentulah Allah akan melimpahkan rahmatNya untuk keseluruhan organisasi atau negara itu, tetapi bagi mereka yang memeranginya, tentulah bala tentera Al Mahdi akan memenangi penentangan terhadap mereka. Umat Islam ketika itu, walaupun mungkin mempunyai pegangan yang berbeda (seperti Syiah dan Sunni) tetapi mereka adalah umat yang satu dan umat yang satu inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w akan menerima syurga Allah SWT dan bagi mereka yang menentang Al Mahdi, tentunya imbalan untuk mereka adalah Neraka Allah SWT.

Ingatlah pada satu firman Allah SWT yang ditujukan kepada Ahli Kitab (Yahudi dan Nashara), mengajak mereka kepada menyembah Allah, Tuhan yang sama yang disembah oleh mereka. Jika mereka itu beriman kepada Allah walaupun mereka itu ‘Ahli Kitab’ yang mengamalkan agama mengikut ketentuan Al Kitab mereka, mereka itu pula beramal dengan amalan yang soleh, maka Allah akan menerima semua amalan mereka itu.

Jika Ahli Kitab pun boleh diterima amalan mereka walaupun mereka menggunakan ‘Kitab’ yang berbeda, kenapa kita yang mempunyai Tuhan yang sama, Kitab yang sama, Kalimah Syahadah yang sama tidak dapat menjadi umat yang satu? Masanya telah tiba untuk kita melupakan perbedaan antara kita, jangan ada lagi masalah furuq yang memisahkan kita, jangan ada lagi syiah atau sunni atau mazhab-mazhab yang menghalang kerjasama kita. Ingatlah bahawa Yang terbaik antara kita bukannya pada Sunni atau Syiah, bukan pada Shafie, Wahabi, Hanafi, Hambali atau Maliki, tetapi yang terbaik adalah mereka yang meneguhkan iman kepada Allah SWT, yang terbaik adalah mereka yang syahid dalam jihad menegakkan agama Allah SWT, yang terbaik adalah mereka yang mengajak kepada ‘Amal Makruf Nahi Mungkar’, yang terbaik adalah mereka yang mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w iaitu menjadikan Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin”. Dan yang terbaik adalah mereka yang akan membebaskan ‘Islam’ dari keadaannya yang ‘dagang’ untuk kembali menyinari alam.

Semuga tulisan ini dapat kita hayati untuk kita sama-sama membuka hijab yang menutupi kita, berdoalah dengan keikhlasan diri, berharaplah dengan sebesar-besar pengharapan supaya Allah menunjuki kita ke jalanNya. Amin.

No comments:

Post a Comment